9.8.11

Veinticuatro: Pen Hitam



"Kenapa macam tu?"
"Sebab tak macam ni."
"Haha lawak. Serious lah."

Pen hitam yang sudah lusuh itu kupusing-pusing antara jari telunjuk dan jari tengahku. Aku pun lupa sudah berapa lama pen itu berada dalam simpanan ku. Seingat aku lama. 4 tahun barangkali. Aneh bukan, dakwatnya tak lekang ditelan zaman. Setia berkhidmat untuk aku.

"Jangan kacaulah. Aku nak buat kerja ni!"
"Hish kau ni, tanya sikit pun tak boleh."

Sebenarnya aku malas menjawab pertanyaan yang sudah terang lagi bersuluh itu. Aku jawab seribu kali pun, jawapannya tetap yang itu juga. Aku bosan dengan soalan klise yang tak mencabar minda. Kemudian perkataan 'klise' bermain-main di benak fikiranku. Perkataan yang dahulunya aku juga tidak tahu cara menyebut. Kadang kala sehingga kini juga aku masih tersasul menyebut 'kliis' berbanding yang sepatutnya 'kli-shei'.

Aku menyambung penulisanku di atas kertas putih bersih berselang-selikan garisan tipis biru pucat yang selari terhampar di atasnya. 

"Hoi, kau taknak turun makan ke?"

Soal seorang rakan sambil menepuk bahuku. Pen di tangan tercampak lalu bergolek ke lantai. Ah, ini yang aku paling benci. 

"Kejap lagi. Kau turunlah dulu."

Aku menolak kerusi yang kududuki ke belakang sedikit lalu membongkok untuk menggapai pen yang tersadai di bawah meja. Dengan keluhan nafas berat aku menegakkan badan ku kembali dan memandang hamparan kertas putih bergarisan lurus selari. Kuconteng sedikit bucu kertas dengan garisan bengkak-bengkok tidak tentu hala. Dakwat yang keluar bagai tersedak-sedak. Ah, aku sudah agak!

Dalam perjalanan aku meninggalkan bilik berhawa dingin itu, aku campakkan pen hitam lusuh di tanganku ke dalam bakul berplastik biru di tepi dinding yang sarat dengan kertas-kertas renyuk dan tin minuman kosong.